Tuesday, January 20, 2009

Rasa Tanggongjawab dan Menanggung Risiko

Saya satu ketika dahulu pernah bekerja dengan sebuah syarikat yang sudah “establish” dan diberikan tugas tambahan sebagai “security-in-charge” serta “transport officer-in-charge”. Memang gah bunyinya tetapi tidak ada apa apa yang spesial.

Saya tidak pernah dihantar berkursus apatah lagi diperjelaskan tentang apa yang patut saya lakukan. Yang jelas, apabila sesuatu perkara berlaku, semua jari akan menuding kepada saya. Kenapa? Jawapannya mudah ....saya “officer-in-charge”.

Yang seronoknya, saya merujuk serta melapor semua hal berkaitan terus kepada Pengarah Eksekutif walaupun saya ketika itu hanya berjawatan Penolong Pengurus. jadinya, pengurus-pengurus yang ada seramai tiga orang itu pun mula cuba mencari sebab agar tugas tambahan saya itu menjadi tugas hakiki dan seterusnya menyebabkan tugas atau tanggongjawab saya yang sebenarnya tenggelam.

Sebagai sebuah syarikat di mana tenaga kerja tidak mahir (unskilled workers) adalah sekitar lapan puloh peratus dan tenaga kerja ini pula datangnya dari Indonesia dan Bangladesh, maka peratusan pekerja asing ini merupakan sembilan puloh peratus (90%) dari jumlah tenaga kerja yang ada. Masalah timbul kerana bukan senang mendapatkan tenaga kerja ini dan ianya melibatkan kos dan prosedur yang panjang dan memakan masa.

Untuk penyelesaian, ada pengurus yang mengambil pekerja tanpa izin (PATI). Bilangan PATI akhirnya melebihi bilangan PADI (Pendatang Asing Dengan Izin). Bos besar tidak peduli asalkan produktiviti syarikat terus lancar dan keuntungan terus diraih.

Keadaan berubah apabila pihak berkuasa mula mengadakan OPS NYAH secara bersepadu. Mulalah semua pihak berasa gabra dan tidak keruan. Operasi demi operasi dijalankan. PATI-PATI mula disorokan di dalam hutan berdekatan, produktiviti menurun dan pengeluaran merosot. Namun golongan PATI ini masih digunakan khidmatnya secara sembunyi-sembunyi hinggalah perkara ini diketahui oleh pihak berkuasa.

Satu pagi yang hening, sepasukan pihak berkuasa, melalui operasi bersepadunya membuat operasi mengejut dan menyerbu ke tempat kerja di syarikat kami. Operasi ini disertai oleh jabatan Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA), RELA dan juga Pejabat Pendaftaran Negara (JPN). Kesemuanya berjumlah hampir 200 orang, yang dipecahkan kepada 3 kumpulan besar yang diketuai oleh pegawai dari Jabatan Imigresen dari ibu pejabat (Bahagian Penguatkuasa dan Pasukan Petugas Pekerja Asing) dan juga daripada pejabat pengarah negeri.

Kecoh....benar-benar kecoh. Seramai 45 orang berjaya di tahan walaupun ada yang berjaya meloloskan diri. Pengurus semuanya kecut, seorang pengurus pun tak berani menunjukkan muka ketika operasi sedang dijalankan maupun selepas operasi selesai pada pagi tersebut.

Maka, sebagai penolong pengurus yang terlibat dalam hal-ehwal “security”, saya terpanggil untuk hadir di masa operasi. Malangnya, saya yang dipersalahkan. Terpaksa lah saya di bawa pergi ke balai polis berdekatan, di ambil kenyataan serta diancam dengan tahanan reman. Nasib baik, ketika itu ada pengawai polis yang saya kenal dan pengarah imigresen yang ada disitu amat bertimbang rasa. Akhirnya, mereka mengenakan saya jaminan polis berjumlah RM5000 di pejabat magistret terdekat. Kebetulan pula masa itu masa pejabat. Kalau tidak., kena tunggu dalam lokap sehingga esok.

Tak ada seorang pun pengurus yang datang menjengok dan bertanya kabar. Maka soalan seterusnya, siapakah yang mengambil PATI-PATI berkenaan?. Siapakah bos yang bertanggongjawab?.

Mereka, pengurus-pengurus itu haruslah diberikan latihan yang sewajarnya agar celik undang-undang, bebaskan diri dari mencari nama dengan produktiviti dan kadar pengeluaran yang tinggi tetapi muflis dari segi keberanian dan menanggong risiko atas tindakan sendiri.

Apa yang berlaku seterusnya? Saya selama 2 minggu terpaksa berulang-alik ke KL dan ke Kuantan untuk menjelaskan serta menguruskan hal-hal ini. Segala perbelanjaan ditanggong, cakap saja jumlahnya, sekejap saja, akaun bank saya mula meningkat. Semua perlu wang. Selama tempoh itu, dua minggu, isteri dan 3 anak-anak saya yang masih kecil tidak tahu dimana saya berada kerana seringkali berulang alik antara KL dan Kuantan. Sehinggalah semuanya selesai dimana pihak syarikat dikenakan kompaun sebanyak RM66,000 namun saya berjaya membuat rayuan sehingga kadar kompaun dikurangkan sebanyak 30%.!

Apa yang saya dapat? Hanya ucapan terima kasih.!!

1 comment:

  1. Macamana pun, bos memang macam tu... BOS IS Always RIGHT...

    ReplyDelete