Thursday, July 30, 2009

H1N1 aka selsema Babi aka Swine Flu aka Influenza A

Aku nak tergelak sebab satu ketika dulu ramai orang bertekak pasai nama yang patut digunakan untuk penyakit ni... ada nak pakai H1N1, ada nak guna selsema babi H1N1, swine flu atau Influenza A. Semua nya sama saja, tapi aku amat setuju kalau pakai selsema babi saja.... senang ingat, tak terlalu teknikal, nampak garang sikit, ada gerun ada paling jelas ramai orang memang tahu BABI samada menyampah ke binatang ni atau suka sangat akan binatang ni.

Hari Selasa lepas (28/07/09), angka kematian seluruh dunia ialah 816 sementara jangkitan confirm ialah lebih 134000 orang. Ada sumber yang kata, jumlah jankitan seluruh dunia melepasi angka 1 juta orang namun ianya belum sah sebab WHO sekarang pun tidak lagi mewajibkan negara-negara di dunia melaporkan statistik jangkitan SELSEMA BABI ini berikutan dengan percanggahan serta peningkatan penularan yang menakutkan WHO sendiri.

SELSEMA BABI ni senang berjangkit, kawalan susah sebab jangka masa dorman dan kuarantin virus ni selalunya 7 hari , jadi ada sajalah pesakit yang tidak tahu yang dia itu sedang menyebarkan penyakit.

Apabila pulang dari KL menaiki pesawat Airasia dari KL ke Sarawak ni, pramugari Airasia mengedarkan orang self declaration bagi tujuan pengawalan SELSEMA BABI, tapi sayang borang yang ditulis itu tak siapa pun yang pungut. Jadi Buat Apa Borang di edar dan di tulis?.

Banyak kolej, Universiti, sekolah di tutup dan siswa dan pelajar di kuarantin.... tapi kuarantin di sini nampaknya macam melepaskan batuk di tangga. Lihat contoh2 di bawa (kisah benar).

1) Seorang pelajar dari UiTM Perak, datang ke hospital Kangar bersama kedua ibubapanya. Beliau ada tanda demam2, kampusnya di tutup sementara dan pelajar diarah pulang.
Dengan tanpa bertutup hidung, dia masuk ke bahagian kecemasan dan kemalangan hospital untuk pemeriksaan kerana demam dan dirujuk ke sana sebab beliau datang dari tempat yang ada kes SELSEMA BABI.
Bayangkan, di bahagian kecemasan itu ramai warga emas sedang menanti serta di rawat atas sebab asma, lelah atau sakit jantung. Bukankah mereka ini mudah dijangkiti penyakit itu.
Tak berapa lama kemudian, baru pelajar perempuan tadi diberikan penutup hidung tapi rasanya dah terlewat sebab sebelum itu dah berapa puloh kali dia batuk2.
2) Sebuah sekolah berasrama penuh di Kuching di tutup kerana 10 pelajarnya sah SELSEMA BABI . Suratkabar bercerita bahawa semua pelajar di asrama di kuarantin di asrama tapi sebenarnya pelajar di suruh balik kampung/ rumah masing-masing. Bayangkan kalau ada pelajar yang positif (tapi belum confirm lagi) , balik naik bas, naik teksi, naik kapalterbang, naik bot atau pergi shopping mall sebelum balik... berapa banyak atau juta kah virus terlepas dan disebarkan apabila mereka-mereka ini batuk , atau bersin atau entah apa2.
3) Kuarantin di rumah.... siapa yang nak pantau kontaks Yang kena Kuarantin dengan isi keluarga yang lain. Contohnya anak saya....... tak ada pun penutup hidung dibagi, cuma satu thermometer dan satu borang pemantauan suhu badan yang kena di ambik 3 kali sehari. Tiada juga cecair nyah kuman di bagi... buatnya positif macamana? Orang jabatan kesihatan mari ke rumah 1 kali sehari, cek suhu badan dan mereka datang siap dengan penutup hidung...


Maka tidak heranlah jumlah pesakit SELSEMA BABI DIMALAYSIA BERTAMBAH SETIAP HARI.

Monday, July 27, 2009

Hantu di Tapak Highland Tower Yang Runtuh

Ramai orang bercerita katanya kat tapak runtuhan Highland Tower itu, ada banyak kejadian seperti terdengar laungan orang dan kelibat seperti hantu. (tak tahu lah hantu macamana).

Memanglah, biasanya tempat-tempat kejadian seperti itu, ada kematian yang ngeri dan tragis, maka timbullah cerita hantu , misteri dan seram. Ini terutama apabila tempat atau tapak kejadian itu dah lama ditinggalkan orang, maka menjadi tempat jin-jin dan benda-benda seangkatan dengan nya.

Tapi, di tapak runtuhan Highland Tower tu, hantu yang sebenarnya hantu ialah mat-mat gian. Mereka menjadi tempat itu markas melepaskan gian sehinggakan "hantu" lain pun takut kepada mereka. Hantu tu pun tak berani kacau... maka kesimpulannya ialah, mat gian ialah raja hantu sehinggakan hantu sebenar pun takut dan tunduk.

Pengeluar, pengilang dan pengedar dadah menjadi raja segala hantu-hantu ini.

ps

Saya tak pernah ketempat ini (tak ingin pun), tapi cerita ini adalah dari satu sumber di sana.

Kuala Lumpur - Satu Hakikat Tentang Orang Melayu

baru-baru ini, kebetulan balik menjengok mak yang kurang sihat, saya berpeluang meninjau keadaan di Kuala Lumpur terutama di kawasan Bukit Bintang. Ini kerana saya telah lama benar tak ke sana dan juga flight saya pula hanya pada besok pagi.

Memang ramai manusia di sana, kebetulan pula ada pesta Samarah... satu program untuk meraikan kedatangan pelancung dari negara timor tengah... pelancung yang katanya kaya dan berbelanja besar.

Tapi itu tak begitu menarik, apa yang menarik ialah gelangat anak muda melayu. Di satu sudut, berdepan dengan lot 10, ada satu persimpangan lampu isyarat. Disitulah berkumpulnya satu kumpulan besar anak-anak muda, rata-ratanya anak melayu.

Anak-anak melayu ni, dengan pakaian yang berbagai, kebanyakkan nya warna hitam atau gelap, lengkap dengan rantai, telinga bertindik malahan ada yang bertatoo. Ramai juga saya perhatikan anak-anak muda perempuan, dengan pakaian yang bagi saya tidak senonoh, ketawa menggilai, macam kena rasuk, dan rasa rasa mereka ini mungkin golongan bohsia atau memang itu gaya hidup anak-anak muda perempuan melayu di bandar bandar besar. Pergaulan lelaki dan perempuan nampaknya tidak ada batasan lagi, bertepuk sana, pegang sini dengan tak ada langsung segan silu.

Budak-budak perempuan melayu ni, saya tengok, setengah nya macam baru umur belasan tahun malah bawah 16 tahun... berdasarkan saiz dan ketinggian. Heran, mana mak ayah, mak ayah tak tahu ke atau memang anak-anak ini dah termasuk tak boleh di ajar atau tak makan saman lagi. Rasanya dah rosak pun!

Apa mereka ini buat? mereka lepak-lepak, tengok orang lalu lalang dan ada yang menari shuffle
ada yang sekadar duduk memerhati orang lalu lalang. Mungkin dalam kelompok ini ada mat rempit, minah rempit, bohjan, bohsia, mat ragut dan sebagainya. Rosak!

Dalam ramai-ramai tu, mungkin tak sampai 10 peratus pun bukan melayu, makna nya, orang melayu yang ramai. Mat Saleh dan pelancung Arab pun ada yang berhenti tengok gelagat mereka-mereka ini. Adakah mereka-mereka ini antara tarikan pelancungan di Bukit Bintang. Pegawai penguatkuasa DBKL, ada di sana, sekadar sibuk dengan jaga trafik... tak risau ke tentang gelagat anak-anak muda ini yang boleh memberikan gambaran tidak elok tentang Malaysia dan orang melayu islam di sini.

Saya nampak ada jugak orang yang tentunya bukan rakyat Malaysia sibuk berniaga, mat bangla pun ramai ... sibuk promosi urut kaki...(entah apa yang dia tahu), ada 2 mat saleh yang bermain gitar gaya street basking, ada 1 anak muda melayu (lelaki) turut main gitar (basking) dan ada satu pertunjukan ular dengan 3 ekor anak monyet kecil. Itu boleh jadi tarikan.

Saya rasa memang itu bukan tempat saya, itu bukan gaya saya dan tentu itu juga bukan budaya dan resam orang melayu dan orang Malaysia kita.

ps

Bila saya turun dari stesen monorail di Bukit Bintang (depan Lot 10), terkejut saya tengok ramai orang, macam ada demostrasi pulak... tengok2 anak muda melayu yang majoritinya berbaju hitam atau gelap, melepak, berdiri dalam kumpulan-kumpulan besar di sudut dekat dengan simpang 4, trafik light. Aku boleh heran, apatah lagi pelancung luar.

Thursday, July 16, 2009

Nak Bersara , "Settle down" ... Bila?

Orang kata, bila umur dah meningkat, sepatutnya dah "financially stable". Betul ke?....
ramai orang lupa bahawa bila umur dah meningkat, kerjaya dah hampir ke penghujung atau sudah sampai ke kemuncaknya, gaji dah nak sampai skill gaji "mati", anak-anak pun turut meningkat umur... belanja pun ikut naik , jadi jangan kata "financially stable". Waktu tu, loan masih ada, mungkin dah tukar kereta dan buat hutang baru. Tak termasuk lagi loan rumah, bil pun makin lama makin meningkat.

Sekarang ni , budak sekolah rendah pun dah pakai hand phone, anak-anak kita apa lagi, jadi bab kredit tu dah dekat RM50 - RM60 seorang. Kalau anak ramai ... Tuisyen dah jadi satu trend, tak hantar anak tuisyen, takut anak kita ketinggalan. Tuisyen fee boleh tahan sekarang, satu subjek tak kurang RM50 ...

Dulu cadang nak settle down bila umur dah 50 tahun, boleh relax-relax, jual goreng pisang petang petang buat melayan waktu... tapi tengok gaya, kena terus beli goreng pisang, terbantut lah plan nak jadi tauke goreng pisang.

Berdasarkan pemerhatian saya, ramai golongan manusia sekarang, masih terus bekerja walaupun umur dah masuk 60 tahun. Sebabnya, waktu umur dalam lingkungan 50an, anak-anak pulak tengah belajar kat universiti, kos pengajiain tinggi... anak sulong pulak bila dah keluar, tak dapat kerja, sambung lagi.... ayah juga yang tanggung.

Universiti awam boleh tahan lagi , walaupun kos yang terpaksa dikeluarkan masih ada.... kena universiti swasta, daftar masuk saja, yuran dah main lebih RM3000, belum masuk makan, asrama, keperluan lain seperti buku dan pengangkutan.

Nak tak nak, kita kena akui hakikat ni, tak ada jalan singkat... kena go ahead.

Nak settle down, biar dulu, lagi ada tenaga dan masih mampu, teruskan ...setidak-tidaknya pengalaman yang ada boleh terus digunakan, masa yang ada juga tidak terbuang begitu saja kecualilah...... jual goreng pisang , macam planning asal saya.

Wednesday, July 15, 2009

REUNION - SELAMAT BERTEMU LAGI

REUNION – BERTEMU KEMBALI DI PERSADA ASING

4hb Julai 2009, bertempat di Singgahsana Hotel di PJ, satu majlis reunion SMSPs telah berjaya menemukan kembali lebih 300 orang bekas penghuni SMSPs.

Apa yang saya dapat tahu dan dimaklumkan ialah tak sampai 10 orang insan dari batch 79 yang hadir, manakala batch senior sebelum itu (batch 77 dan 78) , jumlah yang hadir melepasi 30 orang. Para junior, biasalah, ramai yang hadir sebab kenangan manis tu masih bertempat di hati.

Cuma, persoalan nya kenapa batch saya ni kurang yang dapat meluangkan masa untuk hadir? Macam saya juga yang ada alasan serta komitment tersendiri, tentunya mereka ada sesuatu yang tak dapat dielakkan. Cuma yang heran, ramai yang bertapak dan menjadi penghuni Lembah Kelang. Takan lah tak dapat hadir , pada waktu selepas Magrib untuk bertemu dengan kawan-kawan yang satu ketika dulu, menjadi penghuni satu lingkaran kawasan yang menjadi pusat menimba ilmu dan menjadi manusia yang mengenali erti persahabatan.

Saya yang jauh, amat berharap dapat hadir, cuma, beberapa hal berkaitan dengan urusan kerja yang tak dapat dielakkan , menjadi batu penghalang yang besar. Kalau dekat-dekat sana, sanggup jugak berlari masuk dan singgah di Singgahsana, yang satu ketika dulu pernah menjadi rumah penginapan aku selama lebih sebulan kerana menuntut ilmu dan berkursus secara intentif sepenuh masa dengan Asian Institute of Management melalui program BMPnya.

Malangnya, kehadiran yang amat nipis itu menghalang aku untuk mendapatkan perkembangan terbaru dari mereka-mereka yang hadir. Malah, perbualan telefon dengan seorang rakan rapat dulu, memaklumkan bahawa rakan-rakan batch kami ada yang tak mahu menjawab telefon pun. Bukan nak minta berhutang atau pinjam duit pun!

Saya amat berharap, mungkin di satu masa, dipanjangkan umur, aku akan menghadiri majlis ni.... mungkin boleh buat GEMPAQ!


Penumpang

Kadang-kadang, kawan lebih mengenali kita dari saudara sendiri apatah lagi kawan se asrama. Penumpang mula masuk asrama pada umur 13 tahun (lepas darjah 6) dan terus tinggal di asrama sampai tingkatan 6 dan seterusnya di UiTM selama 3 tahun sebelum terus bekerja selepas graduate, 9 tahun di asrama dan terus bekerja sampai sekarang.
Kawan mungkin lebih mengenali kita dan kita lebih mengenali kawan dari saudara sendiri yang hanya kita jumpa bila bercuti dan balik berhari raya.

Bagus ke tinggal di asrama ?

MANEK URAI AKA MU - TERURAI DAN TERBURAI

PAS DAN BN – MANEK URAI YANG TERURAI

Bila DUN Manek Urai kehilangan YB akibat kematian yang tidak di duga, tumpuan semua tertuju ke arah Manek Urai. Tak tahu pulak dari mana dan apa maksud Manek Urai ini, mungkin ada yang boleh ceritakan.

Tertanya semua orang samada ada BN akan masuk bertanding Pilihanraya Kecil (PK) tu. Tapi semua dah terjawab, BN akan menentang PAS, wakil dari Pakatan Rakyat (PR). Makan berlangsunglah PK pada 14 hb Julai 2009 (selasa).

Waktu penamaan calon, nampaknya semua kelihatan tenang, memuji-muji tentang proses yang dikatakan aman dan mungkin yang teraman.

14hb Julai 2009, PK berlangsung dan keputusan juga telah dimaklumkan. PAS menang juga. Kemenangan PAS tidak mengubah apa-apa dalam carta DUN negeri, cuma mungkin BN berjaya dari segi mengurangkan majoriti... tersenyum lebar bahawa itu satu petanda bahawa ada perubahan, ada peluang di masa depan.

Biasa, bila ada PK, janji di tabur dimana-mana dengan harapan itu dapat memancing undi sehinggakan ada yang sanggup mengatakan bahawa jika parti itu menang, pembangunan akan dilaksanakan, projek akan dibuat, jambatan baru akan dibina.

Rasanya , kita perlu belajar dari semua ini... janji saja tidak membawa apa-apa, janji sekarang tidak boleh membawa kemenangan. DAP di Penang, masih main tunjuk menunjuk, jari di tunding, siapa yang salah dan siapa yang patut menyelesaikan masalah Kampung Buah Pala.... High Chaparaal Malaysia... setakat lembu beberapa puluh ekor dah bising.

Mana para Champion bila kampung Melayu diambil alih, di bangunkan oleh pihak kerajaan samada dari PR atau BN. Bila pusat sembelih babi @ khinzir di kampung Berjaya di robohkan, sibuk pulak DAP sampai sanggup bercerai talak satu dengan PK dan kemudian rujuk balik.

Rasanya politik Malaysia memang macam tu, BN dan PK bila dah jadi pemerintah, semua dibat ikut sedap diri sendiri, bila jadi pembangkang, semua nak dibangkang. Habis orang yang menyokong samada BN atau PK dapat apa?

Peratusan keluar mengundi di Manek Urai (MU) agak tinggi, 87 peratus. Orang BN dah cakap, kalau peratusan keluar tinggi, BN ada peluang menang. pertama kali dalam sejarah, Pilihan Raya kecil, satu negeri bercuti... jangan jadi satu amalan sudah.

Penggunaaan jentera kerajaan samada di pihak BN atau PR memang tak dapat dinafikan cuma cara, kaedah dan perlaksanaan nya mungkin berbeza... satu di pihak kerajaan PUSAT dan satu lagi dipihak kerajaan negeri. Dari segi ekonomi, dari segi nilai wang yang terjual dan terabai, tak siapa yang peduli. Tahukan dari ratusan ribu rakyat Kelantan, tak sampai 11 ribu yang terlibat sebagai pengundi, jadi apa untungnya cuti tersebut.

Berapa banyak kakitangan kerajaan pusat yang secara tak langsung terbabit dalam hal PK di Manek Urai ni... majlis pemimpin bersama rakyat, penglibatan anggota keselamatan yang ramai, bas bas sewa yang di taja dari jauh untuk membawa perayu dan tukang kempen sehingga masuk hospital 2 puteri Umno dek kerana dibaling batu.... dari Perak datang sekadar berkempen dan seterusnya kena batu dari MU. Macam tak cukup batu di Perak.

Apa-apa pun semuanya dah terurai di Manek Urai... jangan sampai rantai manik di leher pun terurai sudah. PAS dah menang di MU jadi kita tunggu pulak MU dari England belasah team bola sepak Malaysia pulak... jangan jumlah golnya sama banyak dengan majoriti PAS kat Manek Urai sudah lah.

Penumpang

Masih banyak masalah yang belum terurai, aku masih terus menumpang di tempat orang.

Tuesday, July 14, 2009

Peniaga Dan Wakil Peniaga

Salesman atau salesgirl, atau pun promoter sebenarnya wakil peniaga... they are the front liners yang berinteraksi direct dengan bakal pembeli atau potential buyer. Sebut pasal potential buyer ni, ada dua jenis... satu memang merancang nak beli tapi tercari cari pilihan mengikut citarasanya dan kedua ialah mereka yang tak bercadang untuk membeli tetapi terpengaruh dengan wakil penjual atau promoter atau salesperson tadi.

Maknanya , promoter atau saleperson ni sebenarnya memainkan peranan penting dalam meningkatkan jual samada produk atau perkhidmatan.

Satu ketika dulu, lama-lama dulu, apabila masuk ke restoren A & W, asal buka pintu jer, sebut si pekerja mengucapkan selamat datang le, welcome ler atau pun waktu dah bayar dan nak keluar, sebut pula dengan thank you and come again... semua nya dengan nada yang agak kuat.
perlukah itu semua? Masyarakat kita tak perlukan itu, senyuman dan layanan mesra dah cukup. Apa jadi dengan A & W tadi.... bisnes nya dalam lama merundum ,cukup belum betul-betul bankrap... A & W terkenal dengan burger nya yang sedap.. saya amat minat, harga pun berpatutan, sekarang susah nak cari A & W, lokasi tak sesuai, tempat dan suasana agak malap. Interiornya agak muram... cuma akhir-akhir ni, banyak pengubahsuaian di buat , di lokasi baru dengan tema yang baru. A & W sepatutnya menonjolkan produknya yang memang sinonim dengan ramai orang... burger daging dan root birnya yang nyaman. Ini perlu di exploitasikan sebagai ikon A & W.

Saya dengan berpakaian se adanya, dengan muka yang agak letih, waktu petang, selepas penat berjalan... masuk ke satu pusat membeli belah utama... waktu tu saya memerlukan satu tali leher yang baru... sebabnya , terlupa nak bawa. Masuk ke kedai tu, belek dan membelek, ada yang berkenan di hati, di pegang untuk di cuba pandang... salesgirl yang ada menjeling semacam dari jauh. Lalu saya melambai untuk bertanyakan sesuatu sebab ada tag macam ada diskaun. Salegirl tadi, tak mari, malah pergi ke arah lain, menuju kearah satu potential buyer yang berpakaian agak kemas.... jadi , saya pun naik geram dan terus keluar. Salesgirl tadi sempat memandang dan saya rasa dalam hatinya.... " tak ada duit , nak beli tie mahal". Saya rasa macam dapat dengar lalu , dalam hati jugak menjawab...." gaji kau pun aku boleh bayar"
Itu tak kisah, yang malang nya ialah gedung atau peniaga tadi sudah hilang bukan potential buyer tapi sebenar confirm buyer macam saya... yang memang nak beli.

Pengguna yang sebenarnya tidak bercadang untuk membeli, tetapi "TERBELI", selalunya terpengaruh dengan promosi dan layanan atau perkhidmatan yang ditawarkan atau diberikan oleh salesperson atau promoter. Contoh yang jelas, isteri saya tak pernah bercadang nak beli threadmill takashima yang berharga lebih RM3 ribu... akhirnya terbeli kerana promosi dan guna kata saleperson yang begitu mudah menarik minat. Itulah pengaruh dan kuasa promoter.

Di Segamat, Johor... ketika saya masih bujang... saya cukup takut lalu dibahagian menjual shampoo atau deodarant, sebabnya ialah, promoternya terlalu agresif sehinggakan menarik tangan kita untuk mencuba dan seterusnya cuba sedaya upaya agar kita membeli. Tarik tangan tu tak lah kuat... manja-manja lagipun promoter shampoo tu selalunya perempuan...amoi2, tapi yang saya elak sebab kita dah ada brand tertentu, dok cari-cari nanti terbeli brand lain pulak.

OK, para peniaga, ingat, your salesperson and promoter are actually the person who will decide your business potential. Don't let them overdo or don't let them make any judgement about the potential customers by their appearance. The money is in the pocket, not on their face!

Saturday, July 11, 2009

Kedai Makan Orang Melayu ... Kawan2

Dah mungkin resam kut, orang kita bila buka kedai makan atau apa apa bisnes pun, harapan jelas terhadap kawan-kawan untuk menjadi pelanggan... dari situ mulalah satu lembaran baru untuk mendapat pelanggan diluar kelompok tersebut.

Kedai makan boleh mendapat pelanggan tetap jika kena caranya.... dari segi masakkan dan servis yang diberikan, walk in customers boleh berlaku apabila ada nak transit customers terutama apabila premis terletak di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti dekat shopping mall atau kedai jual nombor ekor! Di Sarawak, kedai nombor ekor macam di Bintulu, time time tertentu, depan kedai jual nombor sibuk dan jam... orang letak kereta ikut sempat.

Pelanggan boleh bertambah apabila pelanggan tetap mempromosikan kedai (jika makanan nya menarik, cukup cita rasa, harga patut dan servis menarik) dan juga transit customer boleh juga memperkenalkan kepada rakan taulan lain jika kawannya berkunjung kesana dan makanan menarik, ada keistemewaan tertentu, harga menarik dll). Lokasi juga main peranan penting, jangan pulak dekat tepi tong sampah, longkang besar yang berbau atau dekat bengkel kereta yang berserabut.

Sayang, pagi tadi saya ke kedai makan kawan2, dudok dah lama, order tak ambil dan ............

Rasa malas pulak nak tolong kawan2 kalau macam ni.

Cerita Dari kedai Kopi 2

Pada hari yang sama, di tempat yang sama dan masa yang sama....

Watak: 4 lelaki, 1 confirm berbangsa Cina, 3 lagi susah nak cakap sebab kat Sarawak ni memang susah nak teka bangsa apa atau dari suku mana. Ada orang Melanau muka macam Cina, ada orang Melayu muka macam Iban dan ada orang Iban nama dan muka macam melayu.

Cerita nya:

Si confirm Cina ni yang control perbincangan tapi butira ceritanya ialah pekerja-perka mereka banyak lari disebabkan tindakan kawan yang sorang lagi yang tak banyak beri kerjasama. Puncanya semasa kemarau sekarang, pekerja tu ditempatkan di tempat yang tiada punca air kekal dan pihak yang satu lagi pulak tidak menghantar bantuan untuk membekalkan air, terutama air minum. Nada suara mulanya agak rendah sehinggalah satu masa ianya agak tinggi serta berbalas-balas cakap.

Kesimpulan yang boleh di buat ialah
a) Projek mereka terbantut atau terjejas akibat pekerja lari
b) Pekerja lari sebab bantuan asas air minuman tiada
c) Pihak majikan utama (principal atau main contractor) tak banyak membantu.
d) Si Confrim berbangsa Cina ini memang jelas tahu masalah dan memang ambil berat tentang kebajikan pekerjanya tetapi pihak satu lagi tidak membantu hingga masalah yang kecil menjadi besar.

Sayang sekali, akibat terlalu mengikut kebiasaan, iaitu di Sarawak jarang berlaku kemarau panjang, dengan taburan hujan antara 3000 - 4000mm setahun, semua orang gagal buat contigency plan jika perkara kecil seperti bekalan air tak ada. Buat lah penempatan dekat dengan punca air kekal.... itu bukan nya susah!

Jangan jadi macam satu tempat di Bahagian Mukah, kerajaan hantar bantuan air minum dalam bentuk...... air mineral dalam botol....kerja gila. Mana nak dapat hantar hari-hari macam tu.

Thursday, July 09, 2009

CERITA KEDAI KOPI (CERITA 1) - BUKAN CERITA MANIK URAI

Kebetulan hari tu saya cuti, badan pun kurang sihat...isteri pergi kerja dan anak ke sekolah. Dari duduk diam di rumah, saya pergi ke kedai, beli surat kabar dan bersarapan pagi di satu kedai mamak.. kat sini semua kedai makan atau restauran dinamakan cafe... boleh kata semua.....

Kedai kopi nie, sama macam kedai gunting rambut...kalau kena gayanya, dapat cerita menarik atau dapat tengok aksi-aksi menarik.

Pagi tu , saya memang bernasib baik...

Cerita 1.

Watak: Seorang lelaki muda, berpakaian kemas, mungkin orang melayu, seorang perokok, sedang makan roti canai kosong dan teh tarik, beragama Islam dan rasa nya dari Semenanjung.

Ceritanya : Tiba-tiba telefonnya berbunyi, mula-mula suara yang dituturkan tak kuat, saya pun tak peduli sehinggalah dia meninggikan suaranya, seakan-akan marah dengan pemanggil disebelah sana.

Antara butir-butir tuturnya ialah “ yang galak pergi tu buat apa, duduk sama-sama lepas tu tangan dok biar merayap sana-sini tu sapa suruh....” Nada marah berterusan dan akhirnya perbualan telefon terhenti secara tiba-tiba....silelaki tadi melihat ke arah telefonnya dan kemudian meletakkan nya atas meja.

Tanda Tanya dan Kesimpulan.
Siapa pemanggil di sebelah sana...lelaki ke perempuan? Kawan atau saudara kandung? Apa pulak ceritanya... kena cekup dek pencegah maksiat atau apa-apa atau kena tangkap dek orang kampung atau saudara mara sendiri?

Kesimpulannya, si lelaki tadi terhenti perbualan nya akibat perbualan itu dihentikan oleh si pemanggil kerana tak mahu terus dengar leteran dan dimarahi oleh lelaki tadi. Si pemanggil mungkin seorang yang memandang tinggi si lelaki tadi sebab itu lah dia membuat panggilan , mungkin untuk minta tolong atau minta nasihat.

Si pemanggil tadi mungkin telah melakukan satu kesilapan.

Kesimpulan terakhir.... cerita ini menjadi misteri akibat cerita yang tergantung dan seterusnya penggunaan telefon memang mudah, padam saja atau paling mudah sebab kalau dah boring sangat dengar leteran , matikan saja telefon tu. Tentu orang di sana tak panggil lagi.

ADIK YANG UNIK

BAIK, MENGELIRUKAN ATAU SEKADAR UNIK

Ini cerita yang saya perolehi dari satu sumber yang amat saya percayai, tanpa ragu-ragu....

“Bayangkan si ayah berbangsa Cina bukan Islam, ibu warga Indonesia berugama Kristian tapi anak berumur 12 tahun dikatakan beragama Islam dan mengikuti kelas pendidikan agama Islam dan saban hari dengan songkok di kepala apabila ke sekolah”.

Anehnya, si ibu yang beragama kristian berjumpa dengan gurunya (ketika anaknya di tahun 4) dan menceritakan bahawa mahu anaknya diajar pendidikan Islam dan anaknya juga ternyata amat berminat. Anak nya itu adalah antara pelajar pintar di kelas nya.

Ustazah yang mengajar subjek pendidikan Islam tidak menentang malah memberikan nama Islam kepada pelajar terbabit... Mohamad Syafiq. Dari hari itu, Mohamad Syafiq terus mempelajari dan mendalami agama Islam sehingga ke saat blog ini di tulis. Kebetulan pula, saya sempat melihat pelajar ini, membonceng basikal yang di tunggang ibunya waktu balik dari sekolah... siap bersongkok. jelas pada wajah kanak-kanak ini satu cahaya yang sukar digambarkan...nyata kepintarannya...nyata ceria daan penuh ketenangan. Ceritanya, keluarganya juga bukan dari golongan yang berada.

Sayang, sumber saya tidak menyatakan keadaan sebenarnya di rumah Mohamad Syafiq... ayah nya Cina dan ibu nya Kristian... makan minumnya, halal atau tidak, pelajaran dan ibadatnya pula siapa yang pantau di rumah.... adakah kanak-kanak ini sudah memeluk Islam?. atau semua keluarga nya sudah islam..Kanak-kanak ini , jika mengikut tahap fahaman saya tentang undang-undang, agama nya ialah agama ayah atau ibunya... kecuali lah kalau saya silap.. Apakah akan terjadi jika tiba-tiba dia meninggal dunia?

Apa-apa pun, saya yang tidak berupaya nak buat apa-apa, nak siasat lanjut pun tak berupaya, nak buat lapuran pun, tak banyak yang saya tahu, nanti kena pula buat lapuran palsu apatah lagi bab agama ni sensitif.

Saya amat berharap, Mohamad Syafiq akan terus mendapat hidayah, petunjuk dan cahaya keimanan dan satu hari nanti akan meniti kehidupan sebagai Islam sejati. Amat saya berharap, satu hari nanti, ada para bijak pandai Islam, para ustaz dapat berjumpa dengan Mohamad Syafiq dan membawanya kepada sinar Islam sebenar..

Semuga Mohamad Syafiq akan terus sihat, ceria, bijak dan berjaya dalam pelajarannya dan seterusnya menjadi insan Islam yang berjaya.

ps

Ini bukan cerita dongeng

LAWAK PSM

LAWAK PERSATUAN SEPAK TAKRAW MALAYSIA (PSM)

Hari ini saya dapat lawak percuma... lawak dari PSM... kalau tak gelak dek lawak nie, mungkin orang gila kut.

Apabila pasukan Malaysia kalah pada Indonesia di Piala Dunia di Terengganu, alasan PSM akan kekalahan itu ialah “sebab tak makan pagi”. Itu alasan yang sebenarnya atau tidak, kita tak tahu tapi yang pasti kalau tak makan pagi sebagai sebab kekalahan, saya nak tanya beberapa soalan,

a) Siapa yang tak makan pagi... pegawai pasukan ke, pemain tertentu ke atau semua pemain yang mewakili negara ketika Malaysia kalah pada Indonesia?,
b) Pegawai persatuan yang arahkan jangan makan pagi atau jurulatih?
c) Jurulatih atau pemain atau semua anggota pasukan sepak takraw Malaysia tak makan pagi sebab yang dihidangkan tu..nasi dagang atau nasi kerabu atau keropok lekur?
d) Pegawai yang ada tu tahu ke yang pemain tak makan pagi atau itu memang sekadar alasan?
e) Adakah pasukan sepak takraw Malaysia merasakan makanan yang dihidangkan tu tak ada kelas atau tidak halal dan rela tak makan dan biar kalah sebab dah ada alasan?
f) Kalau pegawai yang dibawa ‘melancung “ ke Terengganu memantau aktiviti pemain termasuklah urusan pemakanan pemain (termasuk sarapan pagi), kenapa tak ambil sesuatu tindakan sewajarnya?
g) Atau, makanan yang disediakan tu bukan catering kroni atau saudara mara pegawai pasukan?
h) Mungkin ke semua pegawai, jurulatih dan pemain tidur lewat, bangun lewat dan tak sempat makan pagi.

Saya tahu soalan ini tak akan ada jawapan dari PSM tapi saya seperti MSN juga tak sabar nak dengar alasan PSM bila kita juga kalah pada Korea Selatan dan Indonesia pada Piala Raja Thailand di Bangkok baru-baru ni. Jangan kata pula pemain risau pasal H1N1 sudah lah.

Untuk rekod, Malaysia kalah “menongeng” pada musuh tradisi Thailand dengan 2-0 selepas kalah “tertongeng” pada Korea Selatan 2-1 dan sebelum itu kalah dengan Indonesia 2-0 dalam acara antara regu.

Pasukan wanita Malaysia juga turut memalukan dengan tewas kepada India dalam acara regu dan tewas kepada Jepun dalam acara berpasukan.

Saya tak mahu dengar pasal bola yang digunakan sebab pasukan lain pun bertanding dengan bola yang sama cuma Malaysia menongkah arus dengan menggunakan bola Salim.

ps.

Tiada lagi sepak takraw, tiada lagi bola raga tapi mungkin esok ada bola bulu ayam, di main dalam bulatan, macam zaman Hang Tuah bersaudara atau mungkin Pegawai PSM nak cuba bakat dalam gelanggang Raja Lawak..... kah..kah...kah

Wednesday, July 01, 2009

JKR : Rumah Mereka , Rumah Siapa?

Hari Ahad atau Isnin, dalam berita ada tersiar keadaan rumah kakitangan sokongan / rendah di Kuala Lumpur , Jalan Cheras (kalau tak silap saya). Menteri berkenaan menjenguk dan meninjau keadaan anak-anak buah nya serta tempat yang di panggil quarter kediaman kakitangan sokong / rendah JKR.

Kesian, keadaan perumahan mereka amat menyedihkan. Rumah yang sempit, suasana yang berserabut, longkang yang tersumbat dan banyak lagi hal yang boleh disama tarafkan dengan perumahan setinggan.... mungkin rumah setinggan lebih baik. Ironinya, JKR terbabit dalam penyelenggaraan dan pemantauan bangunan kerajaan termasuk lah kerja kerja pengeluaran tender untuk pembaikan dan penyelenggaraan. Kenapa perumahan kakitangan sendiri terabai?

Rasanya masalah ni bukan baru, sudah lama. Pergi saja kemana-mana perumahan kakitangan bawahan JKR.... rumah satu tingkat, teres yang sempit dan tidak sesuai dengan kehidupan berkeluarga. Keadaan ini mendatangkan perasaan rungsing, tidak selesa serta ketegangan... akibat suasana yang merimaskan, bau busuk dari longkang tersumbat, bising dan sebagainya. Gambaran yang tertera di tv semasa lawatan menteri berkenaan, jelas ternampak suasana latar belakang banguna besar indah , mungkin milik pejabat atau gedung perniagaan tertentu.

Keadaan sebegini menyebabkan anak-anak terbatas, lalu mencari jalan keluar...hanya balik untuk makan atau tidur. masa lain terbuang dengan melepak , atau silap-silap merempit dan aktiviti salah sosial yang lain.

Heran, apa yang menteri kementerian ini yang dulu buat? Asyik-asyik timbul masalah kenaikan tol , bumbung bangunan bocor (pembaikan sehingga berjuta), tiang retak dan tanah runtuh di pinggir lebuhraya. Mungkin sibuk dengan hal ini, kebajikan anak-anak buah sendiri terabai, lebih buruk dari nasib anak titi.

Dalam peruntukkan akta "minimum housing standard" untuk pekerja ladang, peruntukkan yang ada jauh lebih baik dari rumah kakitangan JKR yang saya lihat. Mungkin JKR tidak termasuk dalam peruntukkan ini, tapi setidak-tidaknya, jangan standard rumah kakitangan mereka lebih teruk.

Minimum Housing Standard yang baru menyatakan keadaan rumah berkembar dengan tiga bilik dengan spesifikasi yang menyelesakan termasuklah keperluan untuk privasi serta aliran perudaraan yang baik.

Malulah, jika keadaan rumah kakitangan JKR ini terus diabaikan (mungkin yang baru dibina itu lebih selesa, kut!), maka produktiviti tentu merosot. Kalau yang baru dibina, jangan lupa yang lama.

Kita tengok lah nanti. Sementara itu, cuba jenguk rumah kakitangan KTM.... pun teruk jugak!

Target - Sasaran Kerja dll

Biasanya menjelang penghujung sesuatu tahun kewangan, aktiviti menyiapkan budget adalah sesuatu yang biasa bagi setiap syarikat, tak kira dari sektor atau industri mana.

Budget atau Plan Belanjawan menjadi satu garisan penunjuk atau "guide line", arah tuju syarikat atau bisnes serta menyediakan kaedah, perancangan serta pengurusan kewangan dalam mencapai objektif atau sasaran tahunan.

Dalam mengariskan target, panduan asas ialah "SMART". "S" membawa makna specific, "M" pula manageable and measurable, "A" ialah attainable (boleh di capai), "R" ialah Realistic dan Relevance dan akhir sekali , "T" mengariskan Time atau masa.

Manageable dan measurable menjadi kayu penyukat dimana sasaran itu boleh diuruskan dan di ukur prestasi nya dalam unit-unit tertentu seperti keluasan, unit pengeluaran, harga per unit, unit penjualan dan sebagainya. Ianya sesuatu yang boleh diusahakan dan boleh di capai.

Attainable membawa makna bahawa sasaran yang di tetapkan itu boleh dan tidak mustahil untuk di perolehi. Ianya melanjutkan kepada realistik dan relevan , dimana sesuatu yang tidak relevan dengan aktiviti hakiki tidak boleh dijadikan sasaran dan juga jika ianya tidak realistik, maka ianya hanya sekadar angan-angan mat jenin.

Time atau masa ialah tempuh masa yang diberikan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Masa yang ditetapkan ini perlu lah realistik.

Masalahnya, pembuat rangka belanjawan selalu nya terikat dengan kehendak pihak atasan sehingganya rangka atau plan belanjawan itu menjadi sekadar "satu hiasan untuk mencantik lapuran belajawan" yang bakal dibentangkan kepada ahli lembaga pengarah. Kadang-kadang ianya tidak realistik dan agak mustahil untuk di capai. Perbandingan asas selalunya diketepikan bagi memuaskan hati golongan pengurusan atasan ini. Mana mungkin, jika peruntukkan yang berikan itu terlalu kecil untuk kerja dan hasrat yang tinggi, kemungkin pencapaian nya menjadi sesuatu yang tidak realistik.

Akhirnya, apabila review budget di buat, pihak perlaksana dan "operational people" akan dihujahi dengan pelbagai persoalan.

"SMART" itu juga membawa maksud berfikir secara benar dan matang, bukan ikut perasaan.

Pencapaian akan menjadi satu halangan yang boleh merendahkan moral kakitangan apabila yang mustahil itu nak dikejarkan.

ps
Dah biasa sangat tak capai target, sebab target entah apa-apa.