KEBERKESANAN OPS SIKAP BAGI MENANGANI SIKAP PENGGUNA JALANRAYA MALAYSIA
Ops Sikap ke 20 sudah tamat dengan statistik kematian akibat kemalangan seramai 261 orang semenjak ianya di lancarkan pada 13hb September 2009 yang lalu. Hari terakhir sahaja mencatatkan jumlah kematian yang agak ramai iaitu 23 orang. OPs Sikap ini akan di teruskan lagi pada musim perayaan yang lain dan satu statistik baru bakal dicipta. Biasanya hal sebegini adalah bermusim, disiarkan, dihebahkan pada ketika dan masa itu sahaja, setelah dua minggu atau selebihnya, ianya dilupakan sehinggalah datangnya musim berikutnya.
OPs Sikap yang diadakan saban tahun ketika musim perayaan jelas tidak berupaya mengurangkan kadar kemalangan malahan kemalangan maut semakin bertambah. Apa yang jelas ungkapan OPs Sikap itu sendiri amat jelas bahawa kemalangan kebanyakkan nya berpunca dari sikap pengguna jalanraya, tidak kira samada pemandu kereta, lori, bas atau teksi, pejalan kaki atau penunggang motorsikal. Ianya menjadi parah apabila unsur-unsur lain dicampurkan seperti keadaan jalan yang tidak sempurna, bahana memandu dengan pengaruh dadah atau alkohol atau keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik.
Statistik OPs Sikap nampaknya terlalu menekankan kadar atau jumlah kematian harian, walaupun kadar kemalangan serta saman turut menjadi intipati statistik. Adakah dengan penekanan kadar kematian ini akan menakutkan para pengguna? Jawapan nya ialah TIDAK. Para pengguna jalanraya tidak pernah mengambil berat tentang ini sebab yang pentingnya ialah cepat sampai ke destinasi.
Banyak saranan serta pendapat dikemukakan oleh banyak pihak setiap tahun serta beberapa kaedah serta kempen dijalankan tetapi hasilnya tetap menghampakan.
Kajian terhadap sikap pemandu, suasana atau emosi sebelum dan ketika memandu, kemudahan rehat yang disediakan, jumlah kenderaan, penyediaan kemudahan pengangkutan alternatif, langkah-langkah pemantauan serta kaedah pencegahan dan tindakan susulan undang-undang perlu diselidiki dan dikaji dengan mendalam.
Pemanduan berhemah sahaja tidak mencukupi kerana emosi dan sikap pemandu mudah dipengaruhi oleh sikap pemandu atau pengguna yang lain. Contoh yang jelas ialah keadaan trafik yang memuncak boleh mengubah seseorang yang tenang menjadi tegang. Ini ditambah pula dengan sikap pengguna atau pemandau yang lain yang cuba memotong barisan kerana bosan dengan pengerakkan trafik yang lambat. Keadaan ini menimbulkan perasaan marah serta stress. Ditambah pula dengan hiruk pikuk anak-anak yang juga naik bosan. Siaran radio pula kerap menyiarkan lagu raya yang menyebabkan pemandu terasa sangat keperluan untuk cepat sampai untuk berjumpa dengan ahli keluarga di kampung. Akibat nya, apabila ada ruang yang terluang, pemandu ini mula melepaskan geram dengan memandu laju, dibuang jauh rasa berhemah sebab tujuannya hanya satu iaitu segera sampai ke destinasi. Samseng jalanan serta pembuli jalanraya turut terhasil akibat sikap panas baran serta kelonggaran sikap bersabar.
Bagi pemandu yang memotong barisan , mereka hanya memikirkan bahawa mereka perlu sampai awal, tidak mahu menunggu dalam barisan terlalu lama, timbul rasa bosan , maka perbuatan memotong barisan menimbulkan rasa puas, tanpa mempedulikan pemandu lain yang marah kerana telah menunggu terlalu lama. Ini semua nya tabiat manusia yang sebenarnya boleh diajar melalui peguatkuasaan dan bukannya melalui ceramah semata-mata. Ceramah dan kursus hanya menimbulkan rasa bosan dan ianya sekadar syarat untuk mendapatkan sesuatu seperti lesen. Ini sememang sikap kita, rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan ugama.
Penguatkuasaan yang dilakukan pula mestilah bermula dari sebelum, semasa dan selepas perayaan dan sebolehnya berterusan sehinggakan ianya menjadi satu amalan. Rakyat Singapura yang kononnya pemandu berhemah di negara sendiri, apabila berada di jalanraya di Malaysia, mereka juga sudah membuang jauh-jauh perasaan berhemah itu. Perbandingan juga selalu dibuat dengan pemandu di negara maju seperti New Zealand, United Kingdom, Jepun, Jerman dan Australia tetapi itu di negara mereka. Jika mereka lama di negara kita, memandu di lebuhraya kita, mereka ini juga bakal terikut-ikut dengan gelagat pemanduan di Malaysia. Di sinilah kajian mendalam perlu dibuat untuk mengenalpasti apakah yang mempengaruhi manusia bersikap begitu apabila menjadi pengguna jalan raya khususnya pemandu kereta, bas ekspress serta penunggang motosikal di Malaysia.?
Penguatkuasaan adalah satu elemen penting dalam pencegahan kemalangan khususnya kemalangan maut. Ingin saya cadangkan beberapa usul yang mungkin boleh membantu;
a) Penguatkuasaan sebelum musim perayaan perlulah dibuat bukan seminggu dua sebelum OPs Sikap bermula tetapi sebulan sebelum itu. Buatlah sekatan sebanyak mungkin ditempat-tempat strategik. Periksalah keadaan kenderaan, samada selamat atau tidak.? Kenakan saman segera pada pemandu atau pemilik kenderaan yang tayarnya botak, brek tidak berfungsi atau lain-lain keadaan yang bakal membahayakan pengguna lain. Kenakan denda maksima semuga mereka serik agar tidak lagi disaman, yang mungkin boleh menjejas budget perjalanan nanti.
b) Penguatkusaan semasa OPs Sikap meliputi saman dan pembayaran setempat terhadap semua pesalah jalan raya terutama bagi mereka-mereka yang memotong barisan atau memandu di lorong kecemasan (yang menimbulkan stres pada pemandu dan pengguna lain yang sabar beratur), kenakan denda maksima dan tahan kenderaan mereka selama dua jam sebelum dibenarkan menyambung perjalanan mereka.
c) Pemantauan serta perangkap laju harus cekap di mana, pemandu yang memandu melepasi had laju, ditahan dan terus di saman di mana-mana plaza tol yang mereka gunakan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi. Bayaran saman perlu lah dikenakan dan dibayar pada masa mereka di tahan.
d) Mana-mana pemandu atau pengguna yang mencatatkan saman melebihi satu pada satu-satu masa OPs Sikap dijalankan, lesen mereka harus digantung dan mereka dikehendakki menjalani semula kursus dan seminar Pemanduan Berhemah.
e) Mana-mana kawasan yang dikenalpasti akan mengalami gangguan trafik yang teruk, polis trafik perlu diletakkan di lorong kecemasan di mana, sebarang perbuatan memotong barisan atau menyelit dikenakan saman segera, setempat. Khidmat Pasukan Gerak Am (PGA) boleh digunakan.
f) Papan tanda berbentuk grafik kemalangan (yang teruk dan mengerikan) diletakkan di setiap kawasan strategik yang sering berlakunya kemalangan, dengan amaran hukuman yang keras terhadap pesalah jalanraya. Ianya seperti gambar grafik kesan-kesan dan bahaya merokok yang diletakkan pada setiap kotak rokok.
g) Pemandu yang memandu berseorangan di larang menggunakan lebuhraya bagi mengurangkan jumlah kenderaan. Galakkan dan insentif bagi pengguna kenderaan awam perlu diadakan.
h) Pengerakkan motosikal secara berkonvoi diharamkan dilebuhraya.
i) Motosikal dilarang memasukki lebuhraya selepas jam 7.00 malam. Ini bagi mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam yang melibatkan penunggang dan pemboceng motosikal.
j) Bas-bas ekspress tambahan sempena hari perayaan haruslah melalui pemeriksaan PUSPAKOM bagi mengenalpasti kenderaan kenderaan terbabit.
k) Tahap umur bagi membolehkan seseorang mendapat lesen memandu atau menunggang motosikal perlu dikaji semula. Misalnya, bagi lesen memandu kereta, tahap umur mestikan tidak kurang dari 20 tahun, lori, pengangkutan awam dan bas pula perlulah tidak kurang dari 21 tahun, motosikal bawah 250cc, had umur tidak kurang dari 19 tahun dan bagi motosikal berkuasa tinggi, had umur mestilah tidak kurang dari 20 tahun.
l) Tempoh percubaan pula dinaikkan dari 2 tahun kepada 3 tahun. Mana-mana pemandu atau penunggang yang dikenakan saman ketika tempoh percubaan pula akan dikenakan tempoh lanjutan selama 6 bulan bagi setiap kesalahan dan dikehendakki menjalani kursus pemanduan berhemah setiap kali dikenakan saman. Setiap kursus Pemanduan Berhemah perlu dikenakan bayaran kursus sebanyak RM200.
m) Bagi setiap pemandu atau penunggang yang terbabit dalam kemalangan maut, pemandu atau penunggang terlibat, samada bersalah atau tidak perlu dikenakan tahanan reman tidak kurang dari 3 hari.
n) Mana-mana pemandu, penunggang atau pengguna jalanraya yang pernah terlibat dalam kemalangan maut, senarai nama mereka dihantar kepada semua pejabat JPJ dan Insuran. Ini bertujuan agar mereka dikenakan premium insuran 100 peratus lebih tinggi daripada had biasa selain daripada NCD atau NCB mereka di hapuskan terus. Insuran yang bakal dibayar nanti akan merupakan premium tahap maksima.
o) Pemandu atau pengguna jalanraya yang dikenalpasti bertindak dalam keadaan yang bakal membahayakan diri sendiri dan pengguna lain dikenakan tindakan menghadiri kelas “Anger Management” dan Pengurusan Stress bagi tempuh tidak kurang dari 100 jam. Ini adalah mandatori dan kenakan bayaran sewajarnya. Ini termasuklah pemandu yang mengunakan lorong kecemasan, memotong barisan (menyelit) dan Pembuli Jalanan.
p) Mengenalpasti laluan alternatif sehala bagi kawasan-kawasan yang sememangnya sesak ketika musim perayaan.
q) Tiada lagi diskaun bagi setiap saman yang dikeluarkan malahan penalti 10 peratus perlu dikenakan bagi setiap kelewatan melebihi 3 bulan dari tarikh saman dikeluarkan (saman ekor). Waran tangkap dikeluarkan apabila saman gagal dijelaskan selepas tempuh 1 tahun. Pesalah terbabit kemudiannya dikenakan tindakan kerja-kerja masyarakat seperti membersihkan kawasan perkuburan serta bilik rawatan kemalangan dan kecemasan di hospital kerajaan bagi tempuh tidak kurang dari 10 hari.
Secara amnya, pemandu dan pengguna jalanraya di Malaysia hanya dapat belajar (harap-harap terus bertaubat) jika mereka dikenakan tindakan berangkai seperti saman maksima serta tindakan susulan yang lain yang bakal menyusahkan diri mereka sendiri, samada ketika dan selepas kesalahan itu dilakukan. Mereka perlu merasakan bebanan yang bakal dipikul dan bagi yang telah terkena tindakan tersebut, mereka mungkin akan sedar. Terkena sekali mungkin tidak mahu diulangi lagi. Hukuman digantung sampai mati tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hukuman yang boleh memalukan pesalah atau menyusahkan mereka untuk jangka masa panjang atau berterusan (hukuman denda segera , menghadiri kursus, kadar premium insuran yang tinggi) bakal menukarkan keadaan. Itu lah OPs Sikap yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment