Wednesday, February 24, 2010

Hidup Tanpa Rumah

Malam ni (24/02/2010) di TV3, dalam rancangan aduan rakyat, terhidang satu isu mengenai kehidupan segelintir manusia rakyat Malaysia yang hidup tanpa rumah. Bermalam dan tidur di Dataran Merdeka dan juga lain-lain tempat berhampiran termasuklah di kawasan Chow Kit.

Lebih malang dan sayu ialah ada yang berkeadaan begitu dan hidup bergeladangan bersama isteri malahan dengan anak yang masih kecil. Lebih terharu melihatkan mereka mengelidah tong-tong sampah di belakang KFC dan A&W mencari sisa-sisa makanan. Itu digambarkan dengan jelas. Memungut dan mengutip sisa-sisa ayam goreng untuk di bawa balik dan dimakan bersama-sama kawan, anak dan isteri. Aduh, mana perginya rasa penyayang rakyat Malaysia.

Mengapa mereka jadi begitu?. Tiada kerja dan pendapatan yang tak tetap atau pendapatan yang tidak cukup dengan kos sara hidup yang tinggi. Menyewa tentu tak mampu!.

Pada tahun 1987, saya pernah menjadi manusia geladangan , terpaksa tidur di jalanan kerana ketiadaan wang dan tempat nak di tuju akibat wang yang saya ada telah di curi ... hanya cukup untuk makan itu pun sekadar RM5. Tiket untuk pulang tak cukup walaupun tambang ketika itu sekitar RM21 bagi perjalanan satu hala.

Apabila itu berlaku, tempat pertama yang saya tuju ialah rumah kakak saya di Cheras. Dengan tambang bas mini ketika itu sekitar 50 sen, saya ke sana tapi malang kakak saya tiada kerana pulang ke kampung. Saya berpatah balik ke Puduraya dan mencari tempat yang sesuai untuk meleepaskan penat dan bermalam.

Tiba-tiba terfikir untuk ke Masjid India dekat Wisma Yakin / Selangor Mansion. Waktu itu terfikir mungkin kah masjid itu di buka dan dapatlah saya mencari tempat bermalam walaupun mungkin tak selesa. Malang nya, masjid itu berkunci, waktu itu sekitar jam 11 malam. Sedih dan mencari bingung. Saya bukan selalu ke KL, tak banyak waris yang saya kenal atau tahu mana kediaman mereka. Mana lagi arah tujuan.

Saya hanya berbekal sebuah beg baju... tujuan kedatangan ialah untuk menghadiri satu temuduga kerja. Waktu tu mana ada handphone dan lagi keluarga saya di kampung pun tiada telefon. Nasib saya amat, amat baik kerana terserempak dengan seorang anak muda lain (mungkin lebih muda dari saya). Itu berlaku secara tak disengajakan. Melihatkan saya bingung dan resah, adik tersebut menyapa saya ..." Bang, nak tidurq kat masjid ke?". "Aaha, ya, tapi tutup, tak tau nak pi mana, duit pun tak ada". "takpa bang, saya memang dah besa macam ni, jom ikut saya, kita tidorq sana. Abang dari mana?" Saya waktu tu tak tahu apa kerja adik tu dan tak pulak ada sebarang wasangka buruk terhadap budak ni. Saya ikut je.

Di satu kaki lima, dekat Wisma Yakin, kami berenti. "Bang, kita tidorq sini je. Nak kotak buat lapik ". Kata budak tu sambil menghulurkan kotak yang agak besar setelah di buka. "Memang sini port saya, kotak tu memang ada terselit kat tepi sana. Bantal guna beg saja". Saya pun apa lagi, bentangkan kotak dan melabuhkan badan. Beg yang saya bawa dijadikan bantal. Saya hulurkan rokok kepada budak lelaki tadi. "Terima kasih bang".

(Bersambung).

No comments:

Post a Comment